Wednesday 8 June 2011

Kursus dan latihan JPH sepanjang tahun

Bagi menghasilkan usahawan ternak berjaya, Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) telah merangka beberapa latihan penternakan.
Tahun ini kursus dijadualkan di lima pusat latihan  bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kepada mereka yang berminat dalam bidang tersebut.
Lima pusat berkenaan ialah Institut Haiwan, Kluang, Johor; Institut Pengurusan Veterinar Jalan Cheras, Kajang, Selangor; Institut Kemajuan Ternakan Ayam, Johor Bahru, Johor; Pusat Latihan Ternakan Ayam, Ayer Keroh, Melaka dan Pusat Latihan Veterinar, Jerangau, Terengganu.
Antara kursus yang ditawarkan ialah Rancangan Perniagaan di bawah program Ekonomi dan Kewangan Veterinar serta Latihan Sangkut (Ternakan Lembu) di bawah program Pembangunan Usahawan yang diadakan di Institut Pengurusan Veterinar, Jalan Cheras, Kajang.
Kursus Rancangan Perniagaan disasarkan kepada bakal dan pembimbing usahawan yang mana antara objektifnya adalah untuk menerangkan konsep dan kandungan rancangan perniagaan.
Ia juga diadakan supaya para peserta dapat memahami serta menyediakan rancangan operasi, pemasaran, organisasi dan kewangan usaha niaga ternakan.
Setelah menjalani kursus, para peserta diharap dapat membuat analisis daya saing usaha niaga dan menggunakan perisian spreadsheet dalam penyediaan rancangan perniagaan.
Bagi tujuan itu, kandungan kursus akan menumpu kepada lima perkara utama:

1. prinsip ekonomi dan kewangan dalam penyediaan rancangan perniagaan.
2. penggunaan perisian spreadsheet dalam penyediaan rancangan perniagaan.
3. pengenalan kepada rancangan perniagaan.
4. rancangan operasi dan strategi pemasaran.
5. rancangan organisasi dan kewangan

Kursus itu akan dijalankan selama lima hari dan mereka yang berminat boleh memilih salah satu daripada tarikh berikut: 

20 Februari hingga 23 Februari atau 24 April hingga 27 April

Mengenai Latihan Sangkut (Ternakan Lembu), objektifnya adalah untuk meningkatkan pengetahuan dalam penyelenggaraan ladang ternakan lembu berteknologi tinggi.
Ia juga bertujuan mendedahkan peserta mengenai kemahiran menjalankan aktiviti-aktiviti pengeluaran ternakan lembu dengan menggunakan teknologi tinggi.
Bagi mencapai objektif tersebut, kandungan kursus akan menyentuh aspek berkaitan penerangan mengenai pengendalian operasi ladang ternakan lembu pedaging yang menggunakan teknologi tinggi.
Menerusi kursus itu juga, para peserta dilatih untuk menjalankan sendiri (hands-on) semua aktiviti ladang berkenaan.
Bagaimanapun kursus itu hanya dikhaskan kepada usahawan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta pembimbing usahawan dari Jabatan atau agensi di bawah kementerian itu.
Kursus itu akan dijalankan selama lima hari dan mereka yang berminat boleh memilih salah satu daripada tarikh berikut: 

6 Februari hingga 9 Februari, 13 Mac hingga 17 Mac, 2 Mei hingga 6 Mei atau 12 Jun hingga 16 Jun.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi pusat-pusat latihan Jabatan Perkhidmatan Haiwan berikut:

1. Institut Haiwan, Kluang
Telefon: 07-7597000
2. Institut Pengurusan Veterinar, Jalan Cheras, Kajang
Telefon: 03-87360411 atau 03-87373255
3. Institut Kemajuan Ternakan Ayam, Johor Bahru
Telefon: 07-2361313
4. Pusat Latihan Ternakan Ayam, Ayer Keroh, Melaka
Telefon: 06-2323280
5. Pusat Latihan Veterinar Jerangau, Terengganu
Telefon: 09-8384042

No comments:

Post a Comment